By My Side (2017): Kurang Rencah!

Rating:
★★★★☆☆☆☆☆☆
Aku, secara peribadi, meletakkan By My Side ini di dalam senarai filem-filem yang aku tunggu tayangannya tahun ini kerana hampir beberapa tahun juga kita tak dihidangkan dengan filem tempatan dengan lebih 80% dialognya dalam Bahasa Inggeris dan pengarahnya yang datang dari forte pengarahan sketsa dan filpen untuk pasaran YouTube.
By My Side juga merupakan filem untuk layar perak pertama yang diterbitkan dibawah jenama servis penstriman negara dan itu menarik kerana filem ini mungkin akan menjadi penanda aras untuk kandungan premium tempatan yang akan diterbitkan di masa akan datang.
Menonton drama coming of age yang berputar di sekitar latar masyarakat urban yang selalu dikaitkan dengan komuniti Subang Jaya dan Bangsar ini menimbulkan perasaan yang sedikit kurang selesa kepada jiwa Malaysia aku yang agak pekat.
Filem ini secara rasminya ditayangkan pada Hari Malaysia dan sepanjang kempen promosinya, "a Malaysian love story" sentiasa disebut. Malangnya, sepanjang filem ini tidak ada pun yang boleh aku halakan jari telunjuk aku dan kata "Ini memang Malaysia!" kecuali dialek yang dipakai semua karakter yang ada.
Selain dari dialek dan latar tempat, kisah pasangan ini dengan mudah boleh diadaptasi secara total oleh pembikin filem di negara lain. Tiada apa yang Malaysia tentang itu. Aku tak mahu berbicara soal representasi bangsa, kerana itu tidak sepatutnya menjadi isu. Selagi kisah itu berlaku di Malaysia, aku akan anggap itu filem Malaysia tanpa mengira ratio bangsa dan bahasa.
Tapi aku faham apa yang Reuben Kang cuba buat. Ini filem untuk penonton urban yang mungkin memang pun sudah terputus talian jiwanya kepada budaya dan norma negara ini. Seni meniru hidup, bukan hidup meniru seni.
Dari segi gaya penceritaan, sejujurnya aku kurang senang dengan teknik voiceover untuk menjelaskan sesuatu informasi. Khususnya untuk filem ini, kebanyakan visualnya sudah pun bercerita dan berfungsi sebagai pelengkap maklumat yang perlu ditangkap penonton untuk memahami plot. Kredit kepada pengarah untuk itu, cuma secara peribadi, memberi maklumat secara straightforward kepada penontonlah yang buat mana mana filem di dunia ini jatuh tarafnya kepada telefilem atau siri web.
Plotnya ringan dan cukup mudah untuk difahami. Ia kisah cinta pertama Ben (lakonan Brandon Ho) dan Faye (lakonan Marianne Tan) yang amat susah untuk dilupakan dan bagaimana pasangan ini terpisah selepas tamat peperiksaan SPM. Inilah masalah besar filem ini, ideanya terlalu kecil untuk layar perak dan aku, secara peribadi merasakan ia masih terlalu kecil untuk sebuah "TonTon Originals".
Titik tolak berakhirnya (atau menurunnya) semangat cinta Ben dan Faye terlalu kabur dan itu cukup bahaya untuk sebuah cerita yang tidak mempunyai pembinaan karakter yang baik seperti By My Side. Warnanya pudar dan tidak sehidup sinematografinya. Tiada subplot untuk filem ini, mungkin kerana durasinya yang pendek (75 minit) dan resolusi akhirnya tidak diikat kemas.
Kalau ada pujian yang boleh aku beri kepada By My Side, sudah tentu sinematografinya yang segar untuk filem negara. Penataan cahaya yang baik dan pengarahan seni yang menangkap essence lepasan SPM di kawasan urban dengan teliti juga boleh diberi kredit yang lebih. Pujian juga boleh diberi kepada runut bunyinya (nyanyian David Choi) yang ada fungsi terhadap plot dan penceritaan.
Tiada masalah dari segi lakonan watak utama dan watak sampingan. Ini menarik! Ramai muka muka baru yang sebelum ini aku tak pernah nampak di layar perak (kecuali Marianne Tan dari Ola Bola) berlakon dengan jayanya. Mereka ada potensi untuk mewarnakan filem Malaysia. Arwind Kumar membawa wataknya dengan konsisten, dan aku mahu tengok lebih Nadia Nash di kaca televisyen!
By My Side bukanlah satu percubaan yang baik, tetapi ini akan jadi portfolio yang kuat untuk pengarah dan penerbitnya untuk mencuba sekali lagi dengan idea segar yang menjadi signature JinnyboyTV selama ini.
Apa apa pun, menghiburkan.
By My Side boleh ditonton secara sah melalui TonTon dan boleh dibeli melalui iTunes.
Sinopsis:
Rakan zaman kecil Faye dan Ben membesar di Subang Jaya dan mereka sering bergaul dengan jiran dan rakan sekolah mereka. Dari masa ke semasa cinta di antara mereka mula berputik dan mereka mula bercinta. Bagaimanapun, apabila Faye mendapat tahu Ben merancang untuk pergi ke Australia untuk melanjutkan pengajian, dia perlu menghadap hubungan jarak jauh dan membiasakan diri hidup seorang diri di Malaysia. (CinemaOnline)
Ulasan
Catat Ulasan