Mandatori (2017): Melawan Tangan Ghaib


Rating:

Aku tak tidur satu malam, mengikuti siri mini di bawah jenama Astro First Eksklusif arahan Razaisyam Rashid, Mandatori. Satu pengalaman yang surreal, menonton drama berbahasa melayu yang dirakam baik dengan nilai produksi yang tinggi dan lakonan meyakinkan setaraf dengan siri - siri web premium terbitan Netflix.

Kisah pembunuhan bersiri ini tidak berlaku di Malaysia, tetapi berlaku di "Banda Raya", sebuah bandar yang mungkin berada di alam yang selari dengan Kuala Lumpur (jika dilihat pada demografiknya yang berbilang kaum dan pekerja asing). Menonton Mandatori mengingatkan aku kepada Cicakman 3 atas dua persamaan; gaya latar tempat dan isu yang dibawa; integriti autoriti. Dalam kes ini, anggota polis.

Mungkin itu sahaja caranya untuk mengkritik korupsi dan kebatilan orang orang yang diamanahkan menjaga negara ini dalam bentuk filem di negara ini;

Parallel Universe.

Aku agak skeptikal dengan idea adaptasi novel Ramlee Awang Mursyid, kesan daripada kekecewaan aku menonton Tombiruo. Tetapi Mandatori, secara keseluruhannya, adalah persembahan thriller jenayah yang benar-benar menghiburkan. Idea dan nilai naratifnya besar. Aku puji Astro First atas inisiatifnya untuk mengadaptasi Mandatori kepada siri enam episod, berbanding format supertele dua jam yang biasa dibikin mereka.



Perjalanan ceritanya jelas dan cukup mudah untuk difahami. Pada mulanya, aku ingatkan Mandatori akan jadi drama ala CSI yang menampilkan kes berbeza untuk setiap episod bertunjangkan kelebihan Inspektor Norman, seorang 'profiler' yang boleh berbicara dengan mayat mangsa. Tapi telahan aku salah. Seandainya siri ini ditukar menjadi format filem 300 minit pun, ia akan berfungsi dengan baik.

Pergerakan plotnya memberi keselesaan kepada penonton, dengan susunan insiden yang munasabah tanpa sebarang plothole yang terlalu jelas. Karakternya terbina melalui jalan cerita. Itu menjadikan setiap adegan bertukar penting dalam meletakkan beban kepada empati atau perasaan penonton supaya terus mengikuti drama thriller-jenayah ini.

Aku sangat senang dengan gandingan ala "buddy cop" Aeril Zafril dan Alvin Chong. Keseimbangan lakonan bersahaja dan dinamik kedua pelakon ini, memang patut diberi pujian. Babak yang melibatkan kedua watak ini kadang kadang mengingatkan aku kepada telefilem Razaisyam yang sebelumnya, P.I (Private Investigator) yang menggandingkan Beto Kusyairi dan Anas Ridzuan. Aku dapat rasa sedikit sebanyak elemen telefilem itu dalam siri Mandatori.

Siti Saleha boleh diberikan kredit membawa watak Juliana. Aku tahu, ada pelakon lain yang lebih layak untuk membawa watak Juliana, tetapi Siti Saleha menepati ciri pelakon arus perdana yang boleh berlakon dengan baik dan disenangi oleh produser juga penonton yang peduli tentang kualiti. Amerul Affendi juga cemerlang menyampaikan wataknya. Setiap kali ada bayangnya, babak itu akan bikin merinding. Sayang tak banyak babak yang melibatkan beliau.

Segarnya Mandatori ini, pada pendapat peribadi aku, terletak pada temanya. Melawan kuasa elitis yang tidak kelihatan. Dari sekecil-kecil orang, hingga ke sebesar-besar posisi. Semuanya ada peranan dalam percaturan kuasa besar yang ghaib ini. Bezanya, ada yang untung dan ada yang rugi. Bau politik cukup kuat dalam Mandatori. Dalam parallel universe ini, berlaku kes kes yang biasa kita, rakyat malaysia dengar. Mayat orang yang melawan di simen, bekas ketua polis negara terpalit skandal, isu rasuah anggota polis, judisiari yang tidak menyentuh orang-orang berkedudukan, semuanya ada dalam siri mini ini.

Kesimpulannya, siri mini ini akan menjadi portfolio yang kukuh dan terbaik semua pemain utamanya termasuklah pemain belakang tabir. Ini penulisan Alfie Palermo yang terbaik pernah aku tonton, ini juga pengarahan Razaisyam yang terbaik aku pernah lihat. Tahniah kepada semua yang terlibat dalam Mandatori! Musim kedua, please!

Siri enam episod, Mandatori boleh ditonton melalui Astro First (saluran 480), Astro On Demand untuk pengguna Astro IPTV. Jika anda bukan pelanggan Astro, anda masih boleh menonton siri ini melalui servis penstriman Astro GO.

Sinopsis:
Mengisahkan tentang seorang ‘profiler’ jenayah, Inspektor Norman (Aeril Zafrel) yang menyiasat kes pembunuhan bersiri yang dilihat berkait rapat di antara satu sama lain. Ia membuka kembali kes-kes jenayah yang berlaku beberapa tahun lalu dan lebih merumitkan apabila setiap siasatan yang dijalankan Norman akan membawa beliau kepada sebuah lagi kes pembunuhan baru. Norman semakin keliru kerana seorang demi seorang yang beliau kenal mati dibunuh dengan kejam. (MyInfoTaip)

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Jibam (2017): Kecewa Tahap Tok Ngah Sudin!

Busker (2018): Representasi Jiwa Muda