KL Special Force (2018) : Michael Bay Dah Boleh Bersara

Rating:
★★★★★★★★☆☆
Kebiasannya, kalau aku pergi menonton filem melayu untuk tayangan pagi hari bekerja, jarang benar untuk aku lihat lebih dari sedozen orang dalam panggung. Biasanya kalau bukan aku seorang saja yang beli tiket, mesti ada pasangan rempit yang port dekat kerusi belakang 'buat wayang sendiri'.
Tapi hari ini, separuh panggung penuh dengan orang. Betapa hebatnya penangan Fattah Amin dan Rosyam Nor.
Aku menonton behind-the-scene filem ini beberapa hari lepas, dan itu membuatkan harapan aku supaya filem ini menjadi filem yang baik menjadi lebih utuh. Aku percaya dengan kebolehan Syafiq untuk mengarah filem penuh aksi begini selepas menonton Abang Long Fadil (2014); jadi aku tak ada masalah untuk datang ke panggung dan menonton tanpa merasakan wang aku akan terbazir.
Secara peribadi aku merasakan susunan kejadian atau plot filem ini jauh lebih baik dari seterunya Polis Evo (2015) dan J Revolusi (2017) atas satu sebab utama; terciptanya subplot - subplot yang relevan dan diikat kemas kepada tunjang cerita utama filem ini iaitu menumpaskan kumpulan penjenayah licik, Geng Anarkis. Menariknya konflik-konflik dalam subplot dileraikan dengan cukup baik dalam satu showdown di akhir filem.

Kredit juga boleh diberikan kepada Syafiq Yusof, sepertimana yang dilakukan dalam Desolasi (2015) dan Abang Long Fadil 2 (2017), beliau konsisten dalam meletakkan mesej-mesej penting dalam setiap karyanya. Kali ini, lebih subtle dan tidak terlalu 'berceramah' seperti selalu. Beginilah caranya untuk memberi kritik sosial dalam membikin filem untuk arus perdana.
Meringankan yang berat.
Cuma aku sedikit terganggu dengan pergaduhan dua anggota unit tindakan khas; DSP Roslan (lakonan Rosyam Nor) dan Inspektor Zul (lakonan Fattah Amin) yang berpusing dalam kekacauan yang sama. Aku tuduh engkau, engkau tuduh aku dan begitulah sampai ke akhir filem. Jadi perkembangan dua watak utama ini stagnan dan tiada peningkatan dari segi nilai memanusiakan sesebuah karakter fiksyen.
Aku amat menyukai warna watak Ashraff (lakonan Syamsul Yusof), wataknya, biarpun seorang antagonis, punya karisma yang jarang diperlihatkan di layar tempatan. Sejujurnya aku merasakan watak DSP Roslan dipersembahkan jauh lebih komikal berbanding Ashraff yang ada Visi dan pegangan yang kukuh. Kalau ada spin-off film untuk cubaan watak Ashraff mengubah dunia, aku akan tonton.
Kalau anda menyukai filem aksi yang ada banyak kereta meletup, orang mati bertempiaran, tembak-menembak, inilah filem untuk anda. Memang tak ada ruang untuk bernafas langsung. Sepanjang 104 minit, sedari awal tirai dibuka, KL Special Force menjanjikan aksi, aksi, dan aksi.
Aku faham, rakyat Malaysia memang amat menyukai gaya filem yang sebegini. Tetapi aku secara peribadi merasakan Syafiq masih terbawa-bawa lagi dengan cara pengarahan Desolasi dan Abang Long Fadil; action stunt dan kesan khas yang berlebihan dan tidak membantu proses penceritaan. Selain itu ada juga beberapa babak yang tidak disunting dengan baik dan menurunkan rasa intense penonton.
Tapi ini masalah taste and preference sahaja. Bukan masalah major untuk filem ini.
Technical wise, masalah major filem ini adalah adunan bunyi yang terlalu bingit dan kuat. Sama ada panggung wayang TGV yang bermasalah, atau filem ini sememangnya kuat. Belum pernah aku tengok filem sampai bergegar kerusi.
Walaubagaimanapun, KL Special Force adalah naskah terbaik Syafiq Yusof setakat ini, aku amat menghargai gaya penceritaan beliau, dan percayalah biarpun aku merasakan ada banyak kekurangan, filem ini benar-benar buat aku terhibur.
Tahniah buat KL Special Force!
Nota: Aku decide untuk rasa/perasan yang Syafiq refer nama aku untuk ejaan watak yang dimainkan Syamsul Yusof. Ashraff dengan double F ni rare kot! Hahaha.
Nota: Aku decide untuk rasa/perasan yang Syafiq refer nama aku untuk ejaan watak yang dimainkan Syamsul Yusof. Ashraff dengan double F ni rare kot! Hahaha.
KL Special Force kini telah mengutip RM4.7 juta dalam masa 4 hari tayangannya sejak 8 Mac 2018 lalu dan memecahkan rekod Abang Long Fadil 2 yang mengutip 4 juta dalam tempoh yang sama.
Sinopsis:
Sepasukan polis berusaha menumpaskan sekumpulan perompak bersenjata yang banyak melakukan rompakan bank, yang turut dianggotai oleh salah seorang pegawai polis dalam penyamaran. (cinemaonline)
Ulasan
Catat Ulasan