Dukun (2006/2018): Teks Selari Mona Fandey

Rating:
★★★★★★★★★☆
Spoiler alert!
Menonton filem ini selepas 12 tahun dari tarikh asal tayangannya tidaklah sejanggal yang aku sangkakan (selain dari kualiti visual yang tidak tajam) dan ia satu pengalaman sinematik yang jarang jarang kita dapat tonton di layar lokal. Apa lagi pecinta sinema tempatan mahu? Penceritaan yang kemas, mutu lakonan yang baik, dan selling point terbesar naskah ini - bergerak sebagai parallel text kepada kes jenayah yang kita semua masih belum faham;
Mona Fendy dan mayat ahli politik terkerat lapan belas.
Dain Said, jika diperhati filem bikinan beliau sebelum ini; amat suka bermain di lapangan tema kepercayaan manusia. Tentang mempercayai apa yang kita mahu percaya, dan manusia perlu faham yang mereka tidak memahami banyak perkara. Persembahan tema ini dibawa dengan cukup kemas dalam tiga kisah utama; penyiasatan Detektif Talib (lakonan Nam Ron) terhadap pembunuhan Dato' Jefri (lakonan Adlin Aman Ramli) yang berperang dengan perasaan skeptik, dilema Karim (lakonan Faizal Hussein) mengingkari rohaninya sendiri, dan sudah tentu, ritual Diana Dahlan (lakonan Umie Aida) yang menjadi puca segala huru-hara ini.
"Macam macam orang sembah sekarang ni Chief. Di Brazil tu, orang sembah bola sepak! Tapi, Perancis tetap raja!" - Shah
Tirai Dukun dibuka dengan adegan berlatarkan 1960an, di mana seorang wanita dikelilingi anggota polis bersenjata yang mati berlumuran darah dan jika dilihat dari visualnya, sudah tentu ramai akan merasakan wanita bertongkat sakti inilah punca kematiannya. Tetapi akhirnya wanita ini dengan mudah dibunuh oleh seorang anggota polis yang baru tiba.
Adegan awal ini relevan untuk memberi pembayang kepada penonton terhadap apa yang akan berlaku kepada Diana Dahlan di akhir filem. Kematiannya dalam keadaan bersedia. Malah jika dilihat slogan asal filem ini; "Aku Takkan Mati" (sebelum ditukar menjadi "Akhirnya Kita Bertemu" untuk tujuan pemasaran) juga aku pasti ramai yang mampu mengagak penyudah cerita ini.

Aku menyukai sulaman penyunting menyusun baik pergerakan cereka ini. Tunjangnya jelas, dan cukup mudah untuk kita menggelungsur masuk ke dalam tiga dunia berbeza milik Detektif Talib, Karim, dan Diana tanpa melupakan apa yang sedang kita cuba fahami sepanjang filem.
Jika filem ini keluar pada tahun 2006, aku kurang pasti jika nilainya setinggi hari ini. Tetapi aku yakin, Vanidah Imran akan ada saingan yang cukup sengit untuk merebut piala pelakon wanita terbaik untuk The Red Kebaya (2006) (Kebetulan, Dukun juga bercerita tentang figura berkebaya merah). Umie Aida benar benar memberikan persembahan yang buat aku rasa takut walaupun tiada imejan hantu yang ditonjol. Mimik mukanya, seksi dan sekaligus menyeksa orang yang merasakan Diana Dahlan itu seksi!
Elyana, biarpun sedikit babaknya, cukup berkesan dalam membawa karakter anak muda berontak; Nadia, anak kepada Karim, dan kemudiannya menyerap semangat Diana Dahlan dengan benar-benar berkarisma. Lebih mengagumkan, Elyana cuma berumur 18 tahun ketika itu. Tetapi persembahannya cukup pro!
Faizal Hussein, dinamiknya benar benar kelihatan ketika berbahas di mahkamah, dan digandingkan pula dengan Chew Kin Wah yang cukup baik persembahannya sebagai pendakwa raya. Gandingan buddy-cop Detektif Talib dan Shah (lakonan Bront Palarae) juga tidak kurang hebatnya, tetapi aku merasakan ia lebih kepada penulisan yang berjaya berbanding lakonan yang menangkap.
Bercakap tentang penulisan, aku tidak pernah kenal siapa Huzir Sulaiman. Tetapi semester ini kelas aku dipaksa untuk mempelajari teks monolog "Election Day" tulisannya yang pernah dipentaskan dibawah arahan Krishen Jit dahulu. Jadi apabila aku menonton Dukun, aku sangat mengagumi kraf penulisan Huzir yang bijak, witty, dan intipati kemelayuannya cukup indah.
"Aku harap bila kes ni dah habis, kau masih menghadap Mekah" - Daud

Bingkai filem ini sentiasa bercerita. Semasa Karim hadir ke penjara untuk menyerahkan alat solek Diana dengan harapan Diana membantunya mencari Nadia (anaknya yang hilang), syot dari celah grill dipilih, menunjukkan terperangkapnya Karim dalam dilemanya. Berbeza dengan kali pertama beliau ke sana, di mana ruang itu kelihatan luas.
Dain tahu bagaimana untuk menzahirkan rasa lost di layar. Aku secara peribadi merasakan syot kamera melilau-lilau yang agak lama di kompaun Masjid Jamek sebelum fokusnya dikunci kepada Karim yang bangun tahiyat akhir itu meninggalkan kesan mendalam.
Secara keseluruhan, filem Dukun adalah cereka melayu yang sangat menarik untuk ditonton, dan memecahkan standard filem-filem thriller yang pernah dibikin sinema lokal. Dengan lakonan yang mantap, suntingan dan penulisan yang kemas, dengan kritik sosial yang tidak terlalu 'preachy', Dukun akan menjadi filem yang diingati, satu cult classic yang akan terus diraikan industri filem tempatan.
Tahniah. Berbaloi aku tunggu sampai masuk panggung!
Dukun telah mengutip lebih dari 6 Juta Ringgit dalam masa empat hari tayangan biarpun tanpa bantuan Skim Wajib Tayang. Dijangkakan akan terus berada di panggung sepanjang bulan April ini.
Sinopsis:
Berikutan kepesatan pembangunan Kuala Lumpur, muncul sebuah kisah perihal ketaksuban manusia terhadap kekayaan, kuasa, kecantikan, keremajaan abadi dan darah yang tumpah dalam mengejar semuanya. Karim (Faizal Hussein) seorang peguam nekad untuk mencari anaknya yang hilang tanpa mengira caranya. Masalah Karim menjadi semakin sukar apabila membuat perjanjian dengan Diana Dahlan (Umie Aida), seorang OKT (Orang Kena Tuduh) yang berjanji untuk membantu pencariannya. Tanpa diduga, Karim membongkar kisah yang lebih gelap yang menyebabkan dia kehilangan segala-galanya. (Wikipedia)
Ulasan
Catat Ulasan